Sabtu, 15 Maret 2014

Krisis Mesir Rumah pemimpin Ikhwan diserbu polis

Mohammed Badie ketika ditahan di Bandar Nasr, timur Kaherah


KAHERAH - Satu demi satu strategi tentera untuk membersihkan pengaruh Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi dilakukan.

Selepas menggempur dua kem penyokong itu di Dataran Al-Adawiyah dan Dataran Nadha 14 Ogos lalu, mereka menggempur pula benteng terakhir rakyat di Masjid Al-Fath, Ramsis termasuk menembak mati 35  rakyatnya di Helwan, Giza, kelmarin.

Semalam, pasukan  keselamatan Mesir menguatkan lagi cengkaman dengan menahan pemimpin  Ikhwanul Muslimin termasuk Mursyidul Am, Mohammed Badie.

Al Jazeera melaporkan, Mohammed Badie ditahan jam 2 pagi waktu tempatan di sebuah kediaman di Bandar Nasr, timur Kaherah.

“Ketika ditahan beliau tidak mempunyai senjata atau dikawal mana-mana anggota keselamatan,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri yang mengesahkan tangkapan itu mendakwa, Mohammed Badie dan timbalannya, Khairat el-Shater bakal dihadapkan ke mahkamah bulan ini kerana mendalangi pembunuhan lapan penunjuk perasaan di luar ibu pejabat Ikwanul Muslimin di Kaherah, Jun lalu.

“Beliau bersama penyokong Mursi dituduh mengadakan tunjuk perasaan mega selama enam minggu,” menurut laporan itu.

Peguam Ikhwanul Muslimin, Ali Kamal menyifatkan penangkapan Mohammed Badie bertujuan menghapuskan gerakan Ikhwanul Muslimin.

“Semua tuduhan ke atas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin dan sayap politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) serta pemimpin anti-rampasan kuasa dan Pakatan Kebangsaan Pro-Demokrasi adalah palsu. Apa yang mereka hadapi adalah rekaan yang dicat dengan warna jenayah.

Beliau kini menunggu Mohammed Badie untuk hadir di hadapan pendakwa raya untuk bersama-sama hadiri siasatan. Jawatan Mohammed Badie digantikan sementara oleh Mahmoud Ezzad.

Sementara itu, kediaman pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin Dr Muhammad Abdul Ghani, Setiausaha Parti Hurriyah Wal ‘Adalah Dr Ahmad Abudrrahman dan Ketua Majlis Syura Dr Ahmad Fahmi di As-Syarqiah, wilayah Fayoum antara diserbu anggota keselamatan semalam.

Polis daerah As-Syarqiah melaporkan, serbuan dan penahanan mereka dilakukan bagi  menyekat demonstrasi mega seperti yang dirancang.

Sebanyak 10 kereta polis dan dua kereta perisai tentera berada dalam serbuan itu.

Pegawai keselamatan mengesahkan kediaman khusus Mursi di Hayyu Filat di Bandar Zaqaziq telah dikosongkan dan ditutup.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar